Mencerna apa yang dimakan, menyaring menjadikannya nutrisi, nutrisi kehidupan^^v

Bismillah...proses belajar yang terus-menerus, seharusnya menjadikan diri semakin produktif, insya Alloh...

Minggu, 06 Juni 2010

Sekudus Pinangan

Udara nyaman dihela puas. Seharian terperuk di dalam teratak usang memang merimaskan. Rumah setingkat dari kombinasi binaan batu dan papan itu terletak jauh dari hiruk pikuk kota metropolitan, berdiri rendah di celah penempatan yang masih dara. Kondisi persekitarannya aman diselimuti kehijauan alam dan bisikan unggas. Cukup mendamaikan. Kelihatan beberapa lembaga berkerudung gigih membersih sekangkang kera halaman. Sebahagian lagi sibuk merapikan batas yang padat berjenis sayuran segar.

Rembesan peluh amat melekitkan kulit. Terik mentari seolah-olah menembus lapisan pakaian yang lencun. Nis mencapai tuala kecil separa terlilit di leher lalu mengusap lembut wajahnya, membuang sisa-sisa peluh sambil menapak perlahan-lahan menuju buaian di bawah wakaf untuk melepas lelah. Sudah hampir tiga jam sekumpulan perempuan itu bergotong-royong. Nis membuang pandang pada sekeliling kawasan. Mindanya terawang-awang dipuput kenangan lalu, melayang melewati hikayat si penjerat.

“Kenapa Nis diam? Ada problem ke?”

Bebola matanya menengok pada gelas yang masih bersisa, sambil tangan ligat bermain straw mengaduk ais. Zamri yang duduk bertentang langsung tidak dipedulikan.

“Nis…Saya tengah cakap dengan awak ni…” Zamri makin bosan bertanya. Lain sekali fiil Nis malam ini, tidak seperti selalu. “Period ke apa?” sangkanya sendiri.

“Saya tak sedap hatilah. Bukan ke tak elok kita makan semeja macam ni?” Suara Nis terserlah jengkel. Ekor matanya melirik kiri dan kanan. Alangkah bagus kalau dia tidak menumpang kereta Zamri sekembali dari majlis ilmu di masjid tadi…

Zamri tersengih sekilas. Pandangannya menjamah keserian paras buah hatinya. “Nis, kita tak buat apa-apa pun. Saya ajak awak makan je. Tempat ni ramai orang, bukannya kita berdua-duaan. Lagipun kita kan dah nak bertunang bulan depan…”

“Tapi…”

“Nis, takkan saya nak buat benda tak elok. Awak tak percaya saya ke? Awak rasa berdosa ke kita keluar makan macam ni? Niat saya baik… Nak belanja awak je…”

“Bukan…” Nis serba salah. “Tapi…”

Perbualan keduanya terhenti apabila pelayan membawa dua pinggan berisi nasi ayam garing untuk disajikan. Aromanya begitu memikat selera. Zamri mencapai sudu dan garfu dari dalam raga biru di tengah-tengah meja langsung dihulurkan kepada Nis.

“Sudahlah tu. Kita makan dulu, lepas tu saya hantar awak balik. Tak baik tau gaduh depan rezeki, nanti nasi nangis. Lagipun, takkan la awak nak tengok saya kelaparan.” Zamri menggedik. Ah, perempuan lurus ini terlalu mudah untuk dikalahkan!

Nis tersipu-sipu. Demi kau Zamri, apa sahaja. Butir bicara kau benar belaka!

“Ok. Tapi Zamri jangan merajuk dengan saya pasal tadi ye…” Lirihnya manja.

Zamri mengukir senyum, menampakkan lekuk di pipi kiri.

Tampan sungguh lesung pipitmu wahai satriaku! Siapa pun pasti terpesona melihat rupamu nan rupawan. Kau penakluk idaman yang bisa merajai naluriah. Susuk gagah dan kekar. Sekali pandang persis hero yang ghairah beraksi di layar perak, dan akulah heroinmu!

Memandang pada lahiriah Zamri, padan sudah bagi Nis untuk berbangga-bangga kerana berjaya memenangi hatinya. Tapi bukan itu yang menggoda batin Nis untuk menerima cinta lelaki itu. Nis sebenarnya terpaut pada keluhuran pekerti Zamri. Amat berbudi bahasa. Apalagi mersik suara Zamri acapkali didengar melalui corong bunyi menjelang solat fardu datang menjengah. Zamri bertugas sebagai muazzin dan kadangkala mengimamkan sembahyang di masjid kampus tempat Nis menekuni ilmu. Usai solat, Zamri lazimnya menyampai tazkirah yang sarat inti sari ilmiah juga maklumat terkini.

Bapa Zamri, Dr. Ridhuan ialah pensyarah yang berpengalaman mengajar Nis selama dua semester. Dr. Ridhuan tertawan dengan peribadi sopan Nis, lebih-lebih lagi dengan kecenderungan Nis untuk mendalami pelbagai cabang ilmu Islam. Iltizam yang ditonjolkan membuka hasrat Dr. Ridhuan untuk bermenantukan pelajarnya itu, lalu anak bujangnya diperkenalkan dengan Nis.

Pertemuan pertama di banglo Dr. Ridhuan cukup menggamit memori. Suasana kekeluargaan yang tampak kaya dengan nilai-nilai tarbiah menarik minat Nis untuk setia memanjangkan silaturrahim, apatah lagi Nis berazam untuk menyubur sanubari dengan kefahaman yang sahih tentang agama, lantaran ketandusan peluang untuk menyemainya suatu masa dahulu. Hubungan merpati dua sejoli ini akhirnya direstui orang tua Nis juga, dengan harapan keduanya bakal bersatu menyambung sunnah.

Sehinggalah malam durjana itu…

Zamri hakikatnya musang berbulu ayam! Alim-alim kucing. Penuh kepura-puraan di depan darah daging sendiri. Tanpa pengetahuan Nis, binatang itu secara senyap-senyap membubuh pil tidur ke dalam minumannya. Rasa pening menerjah Nis dan kesudahannya dia tewas di dalam pelukan syahwat Zamri. Gadis yang terlelap itu diangkut ke hotel di ibu kota, lalu tubuhnya diratah sewenang-wenangnya tanpa rela.

Dia menangis semahunya. Zamri dengan niat memujuk kononnya sedia untuk bertanggungjawab jika terdapat zuriat yang tertempel di rahim Nis, kemudian berjanji akan menikahinya sesegera mungkin. Langsung pasangan muda itu berzina lagi dan seterusnya beberapa kali sehinggalah Zamri curang lalu meninggalkannya sendiri terpinga-pinga. Tindakan jahil itu mencoret sejarah hina apabila Nis mengandungkan anak hasil hubungan seks haram bersama jantan laknat itu.

Nis terasa bahunya ditepuk dari belakang. Tepukan yang perlahan, namun sudah cukup kuat untuk mengejutkannya dari lamunan kenangan.

“Nisa’ termenung apa tadi? Sampai Ummi bagi salam pun Nisa’ tak perasan.” Ummi Ros tersenyum mesra. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Nisa’.

Ummi Ros rupanya…

“Hmm, takde ape-apelah Ummi. Nisa’ rindu ibu di kampung….” Nisa’ pantas mengesat air mata yang terburai dengan hujung tudung, cuba untuk menyembunyi tangis.

“Rindukan mak rupanya. Agaknya apa khabar mak Nisa’ ye? Mesti dia pun tengah rindu Nisa’.” Bicara wanita penyayang itu, sengaja bermain dengan emosi Nisa’. Ummi Ros kenal benar dengan dia yang amat sensitif apabila ditanyakan tentang ibunya.

Titisan mutiara jernih berguguran tanpa dapat diseka, terasa hangat menampar pipinya yang gebu. Apakah kecintaanmu terhadapku masih mekar seperti dahulu?

“Nis mengandungkan anak haram Zamri!” Teriak Nis sambil meraung, bersujud di kaki kedua orang tuanya. Ibunya terlongo lalu mencucurkan tangis. Ayahnya turut terkesima langsung bungkam. Dengan mendadak ayah rebah sambil memegang kuat dadanya menahan sakit. Sesak nafasnya begitu menyeksakan. Lelaki yang berusia lewat separuh abad itu menderitai sakit jantung di tahap kronik dan kini nazak menanti mati. Perkhabaran buruk mengejut dari anak tunggalnya itu benar-benar merentap jiwa.

“Abang!” Sa’adah memangku Mokhtar yang terkulai layu. Tangannya tanpa henti mengurut dada suaminya. Air mata tambah melaju, dibiarkan tanpa diseka lagi.

Nis lantas bersila di sisi kanan ayahnya langsung mencapai jemari kasar milik ayahnya. “Ayah… Ampunkan Nis, ayah! Ampunkan Nis, ayah…” Nis mengucup tangan ayahnya berkali-kali. Kemudian tapak tangan itu diletak erat di pipinya. “Jangan ayah… Jangan tinggalkan kami… Ayah!” Nis merintih dan memekik sepenuh perasaan.

Mokhtar semakin nazak, namun di penghujung nafas masih tegar berpesan…

“A…Adah jaga… Nis… Nis… ja…ga m…mak…” Bicaranya tersekat-sekat. Sa’adah dan Nis serentak memeluk kejap tubuh Mokhtar. Detik perpisahan nampaknya kian menghampiri. Mata Mokhtar terkebil-kebil, mengalun syahadatain. “As…sy…hadu al…alla…i…ilaha…ilallah…” diteruskan hingga ke akhir kalimah sedaya mampu. Lalu mata dipejam lena selama-lamanya.

Sa’adah terpaksa menempuh dua ujian yang maha berat. Dia terlalu teguh mendepani bentangan onak dan duri. Wanita tua itu tinggal sebatang kara, sedangkan Nis pula berhempas-pulas meneruskan kehidupan sebagai siswi, biarpun diri dibebani episod lalu. Tekad dipacak sedaya mungkin demi membela ibu. Walaupun begitu, langit tidak kekal terang. Ketenteraman hidup ibu dan anak itu akhirnya diragut hasil caci maki dan celaan orang kampung. Masyarakat senang sekali untuk tidak berlaku adil, terus-menerus menghukum mengalahkan Tuhan.

Sa’adah tetap cekal mendukung umpatan dan hinaan yang menujah anak tersayang. Si celopar menuduh Sa’adah tidak reti mendidik anak, ada yang bercabul menuduh Mokhtar lelaki dayus. Hukuman demi hukuman yang dijatuhkan ke atas keluarganya meluluhkan perasaan Nis. Ibu dan arwah ayah tidak bersalah. Nis nekad mengubah hala, asalkan nama Mokhtar dan Sa’adah murni dari tercemar.

“Jom masuk dalam. Dah nak masuk Zohor ni.” Ummi Ros menyentuh lembut bahu Nisa’. Nisa’ tersedar dari menung langsung bangkit menggeliat. Dia mengorak langkah berkecil-kecil, lalu berpapasan dengan Hana dan Intan.

“Kenapa Kak Nisa’ nampak sedih je?” Hana menegur manja. “Ada masalah ke?” Sengaja dia menduga. Intan pula sekadar mengangguk seraya menggaru kepala.

Nisa’ senyum, berusaha untuk membuang muram.

“Takde la, akak rasa macam nak buat satu benda…”

“Apa dia?” Hana dan Intan bertanya serentak.

Nisa’ tunduk menengok tanah. “Hmm, ada la…Rahsia…”

Hana kian galak bertanya. “Ala, cakaplah kak. Kot-kot kami boleh tolong…”

“Betul ke Hana nak tolong akak?” Nada Nisa’ sedikit gembira.

“InsyaAllah… Kami ok je. Kalau benda tak salah kami sanggup tolong. Kan Intan?” Hana menyiku Intan. Intan menyengguk lagi sambil tersengih lebar.

“Salah tak kalau akak nak cubit perut korang!” Jari Nisa’ hinggap mencubit lembut perut kedua-dua gadis itu lalu melarikan diri. Hana dan Intan tergelak geli kemudian berkejar-kejaran di padang menghijau Raudhatus Sakinah. Ummi Ros sekadar memerhati gembira. Persaudaraan yang membunga di Raudhatus Sakinah lestari mewangi, malah lebih akrab dari hubungan sedarah. Nisa’ menganggap Hana dan Intan seperti adiknya sendiri. Ummi Ros pula berperanan sebagai ibu buat gadis-gadis malang itu. Gadis-gadis yang didatangkan mehnah dunia, lalu ingin kembali ke pangkuan Tuhan.

Raudhatus Sakinah menempatkan sekitar 20 orang pelatih, terdiri dari remaja puteri yang dirundung musibah lantaran nyalaan nafsu membakari maruah diri. Mungkin juga angkara manusia iblis berjantina lelaki. Penzina, ibu mengandung luar nikah, perempuan simpanan, wanita yang nyaris murtad, mangsa rogol dan sumbang mahram – pelbagai wajah disatukan di bawah bumbung, sebantal nyenyak dan setalam hidang. Lindungan sepenuhnya ditebarkan, naungan kasih dicurahkan demi mempertahankan tunjang akidah gadis-gadis yang tergugat anutannya.

Wanita-wanita ini dididik dalam suasana yang tenang, diperkaya dengan unsur famili bahagia demi mencetus keharmonian dalam kehidupan saban hari. Mereka diajar dan dilatih mengurus rumah tangga dengan teratur. Sepaling istimewa, hidangan tarbiah peneguh rohani. Setiap detik tidak sunyi dengan suapan ilmu-ilmu ukhrawi demi mendekat diri dengan syariat Islam. Amal ibadah digiatkan semata-mata kepatuhan hakiki di sisi Ilahi. Sembahyang berjemaah, solat nawafil, tadarus Al-Quran, puasa sunat, qiyamullail, berzikir menjadi rutin yang payah untuk diabaikan.

Sehabis sembahyang berjemaah, semuanya sibuk mengerjakan solat sunat baada Isyak. Selepas itu Ummi Ros yang masih bertelekung mara bagi mengumumkan informasi penting. Dia berdehem beberapa kali sebelum mula berbicara.

“Anak-anak… Pagi ni kita akan qiyamullail macam biasa. Tapi kali ni kita ada imam jemputan…” Ummi Ros membelek kertas yang tercatit maklumat itu.

Masing-masing diam menadah telinga. “Ustaz tu dijemput khas dari UKM Bangi. Lepas qiyam dan solat Subuh kita ada kuliah Subuh.” Ummi Ros menyambung.

Keadaan hingar-bingar. Ingatkan Ustazah, rupanya Ustaz!

Terdengar suara sumbang diiring hilai tawa. “Hensem tak Ummi?”

Ummi Ros mencebik. “Ish, tak serik-serik! Bila cakap pasal lelaki je bukan main syok. Yang selalu ngantuk masa qiyam pun terus semangat.” Fuh, sindiran Ummi Ros memang pedas! Bagi yang terkena, muka merah padam jadinya. Membisu serta-merta, manakala setengah lagi tergelak girang.

“Ummi gurau je…” Ummi Ros ingin memupus rajuk. “Kalau tanya Ummi, memang tak hensem la…” Cakap Ummi Ros tergantung. Masing-masing terlopong.

“Sebab yang hensem suami Ummi je la, Haji Rahim”

Ketawa berderai lagi, melenyapkan kelengangan malam.

“Dah dah…Lepas bertadarus, Ummi nak semua tidur. Esok bangun awal, pukul 4.00 pagi semua dah siap bertelekung dan bentang sejadah. Boleh tak anak-anak?”

“Baik Ummi!” Mereka membalas beramai-ramai. Sayang benar gadis-gadis itu kepada Ummi Ros. Masakan, terlalu besar bakti wanita bertudung labuh itu. Tika gadis-gadis itu dibuang saudara dan dicela umat setempat, Ummi Ros mendepa tangan seluas-luasnya menyambut mesra kehadiran mereka. Engkau memang altruistik!

Nisa’ bangkit mencapai mushaf Al-Quran dari rak di pojok bilik. Halaman dibelek satu persatu, lantas dia memilih untuk mengalunkan Surah An-Nuur. Bacaan meluncur lancar dari bibir yang mungil, sampai ke ayat suci yang ketiga.

“Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak tidak dikahwini melainkan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik…” (Maksud ayat 3, surah An-Nur)

Air mata Nisa’ meleleh bertalu-talu membasahi Al-Quran. Kalbunya ditusuk sembilu duka. Dia berkira-kira, apakah benar penzina hanya layak dinikahi penzina? Jika itu satu kenyataan, aku rela membujang sampai ke akhir hayat! Masihkah ada ruang bagiku untuk dilamar lelaki yang mentaati Tuhannya? Aku terlalu menginginkan suami penyejuk pandang. Teman setia yang mampu menggarap agar terbinanya bait Muslim. Mungkinkah?

Nisa’ menyudahkan bacaannya di situ. Mushaf ditutup. Dia berdiri mencapai sejadah, solat taubat ditunaikan. Pasrahnya disandarkan kukuh di riba Maha Penentu. Lenanya malam itu dalam tangisan sambil berteman Al-Quran di tangan.

“Bangunlah Nisa’… Imam dah sampai. Dah nak mula qiyam pun ni.” Nisa’ membuka mata. Bergaung suara imam nyaring mengalun Al-Fatihah. Nisa’ bingkas bangkit menuju bilik air untuk berwuduk. Sesudah bertelekung, dia bersigap menyertai makmum di saf paling belakang. Imam tidak berkeputusan melagui kalamullah. Bacaan Ar-Rahman terdengar melayut-layut, berselang seli dengan esak tangis.

Usai solat Subuh berjemaah, imam berpaling ke belakang.

Astaghfirullah! Jantung berdetak deras. “Itu…”

Matanya berkerdip dua tiga kali. “Itu… Ikram!”

Ikram melempar senyum. Penglihatan keduanya bertaut sejeda lantas terlerai. Nyaris-nyaris tawanya terhambur melihat Nisa’ tercengang, namun ditahannya untuk menghindar wasangka. Ikram terbatuk kecil sebelum mula berceramah berdegar-degar. Lega dan syukur terlindung di hati. “Betullah Nisa’ ada di sini.”

Nisa’ masih enggan percaya. Dia menampar pipinya kuat. Aduh, sakit! Dia tidak bermimpi juga bukan di alam fantasi. Itulah Ikram yang dahulu pernah tergila-gilakannya. Ikram yang dibencinya dulu. Ikram yang pernah diherdiknya sesuka hati.
Kad Aidilfitri berwarna merah kesumba itu disiat-siat langsung dibaling ke parit.

“Aku cakap aku tak suka kau! Kau tak faham bahasa ke?” Nisa’ membengis. Mahu sahaja dia membaham Ikram.

“Laa… Aku bagi kau kad raya je pun…” Ikram longlai melindung diri.
Kemarahan Nisa’ membuak-buak. “Jangan banyak alasan la! Jantan miang… Apasal kau suka kacau aku?”

“Aku ikhlas nak kawan dengan kau…”

“Boleh blah la kau! Perangai buruk. Sembahyang pun malas, puasa pun tak… Kurang ajar pulak tu… Jangan berangan la!”

Ikram menunduk. Lidah kau jauh lebih tajam dari belati! “Tapi aku pun nak insaf… Kalau kau couple dengan aku, boleh kau ajar aku agama.” Balas Ikram perlahan.

“Hei! Kau tak malu ke? Apahal aku pulak yang nak ajar kau agama… Pergi la belajar sendiri! Jangan kacau aku lagi!” Jeritan Nisa’ bagai halilintar, menyambar emosinya sampai hangus rentung. Sekumpulan siswa dan siswi yang sedang menjamah juadah petang di kafetaria tersentak. Berpuluh pasang mata kini sedang tertumpu ke arah mereka yang benar-benar mencuri perhatian awam.

Ikram akur lantas mengayunkan langkah. Rentetan dari keaiban itu, Ikram membawa dirinya yang terluka jauh dari institusi itu. Dengar-dengar dia berpindah ke universiti lain. Ah! Peduli apa aku. Lamarannya sudah aku tolak tepi. Apa guna memadu asmara dengan lelaki yang jahil murakab.

Tapi… Kenapa Ikram nampak lain sekarang? Sangat berlainan…

Kuliah Subuh tamat. Ikram yang berjubah putih safa menutup majlis dengan tasbih kafarah lalu berangkat keluar dari rumah itu. Penemannya turut berdiri lalu ikut membuntutinya. Barangkali pergi berehat seketika di pangkin di kawasan laman.

Soksek-soksek mula bertimbulan. ”Hensemlah ustaz tu…”

”Dah. Jangan nak menggatal! Tu aku punya ha…”

”Sorang tu macho, sorang lagi comel la…”

Tolonglah… Ikram pernah gagal dalam merebut cintaku. Nisa’ tersengih sendirian. Ikram yang dilihat sebentar tadi memang mengagumkan, tetapi apakan daya. Jangan-jangan sudah berpunya. Argh! Melepas… Usah berangan lagi.

Nisa’ melupuskan mimpian yang ligat berlegar di benak. Dia menapak lembab menuju dapur. Hari ini tiba gilirannya untuk menyiapkan makan pagi bagi segenap ahli rumah. Ummi Ros muncul di dapur dengan mendadak. Kelihatan dia tercungap-cungap.

“Nisa’, tolong masak sedap-sedap ye. Lepas tu tolong hidang pada ustaz dua orang kat luar tu…”

Gulp! Aku yang kena hidang? Matilah aku…

“Tapi Ummi, saya sibuk ni. Takpe… Biar saya masak, lepas tu nanti Maria tolong hidang.” Nisa’ beralasan tidak konkrit. Janganlah aku yang kena hidang…

“Takde tapi tapi…Cepat sikit ye….” Ummi Ros meninggalkan Nisa’ terpinga-pinga.

Adusss… Macam mana ni… Nisa’ mencari saran serata minda. Mundar-mandir sambil memegang sudip. Tiba-tiba sahaja timbul dalam fikiran – Pinjam purdah Rohana!

Dari jauhan terdengar ketiga-tiga sakan berborak. Nisa’ berjalan lambat-lambat sambil menatang dulang keluli dengan penuh hati-hati.

”Hai, cantiknya purdah Nisa’…” Ummi Ros terseringai penuh sinis.

Ikram menjeling Nisa’. Fadlan di sebelah ikut memandang. Terketar-ketar Nisa’ semasa menyaji sarapan buat kedua tetamu yang berkopiah itu. Hampir sahaja dia menangis! Ikram yang menyedari kerisauan Nisa’ geli hati langsung mengalih pandang.

Selesai menghidang, Nisa’ ingin bergegas pulang ke dapur. Hajatnya tersekat apabila lengannya disentak. Nisa’ beristighfar berkali-kali.

”Nisa’ nak pergi mana tu. Duduk sini dulu… Teman Ummi ye… Kejap je…”

Nisa’ menghadam hasrat Ummi Ros tanpa sekelumit soal. Dia duduk perlahan-lahan, tepat membelakangkan Ikram. Sekadar pegun memerhati sandal yang tersarung di kaki. Beberapa ketika, telefon selular milik Fadlan menjerit-jerit minta diangkat. Dia memohon izin untuk menerima panggilan lantas bangun dan berjalan menuju ke tanah lapang. Dua yang lain meneruskan santapan manakala Nisa masih bisu menghadap tiang berkarat di sisi kanannya.

Sekonyong-konyong bunyi nada dering kedengaran lagi. Ummi Ros menggeledah tas tangannya lalu mencapai telefon bimbit. Punat dipicit lalu bertali-tali borak dan sembang. Ummi Ros yang pada asalnya duduk terburu-buru bangun lalu seraya menapak menghala ke kereta miliknya di parkiran.

Nisa’ bangkit berundur dari duduknya, langsung Ikram menyapa Nisa’.

”Nisa’… Tunggu kejap…” Ikram menyeru agak kuat.

Nisa’ menoleh bertentang Ikram. Tidak duduk, tidak pula pergi.

Ikram mendeham, berikhtiar menggenggam kekuatan. ”Apa khabar Nisa’?”

”Alhamdulillah, sihat…” Reaksinya tidak acuh.

”Alhamdulillah…Moga kekal sihat…” Ikram kekontangan idea.

Kedua-duanya buntu sesaat. Nisa’ mula berlangkah. Ikram yang kecuakan, gelisah ditolak mentah-mentah buat kali yang ketiga spontan berdiri tegas. Perawan itu lantas beralih hala di hadapannya. Kedua-duanya saling berpandangan.

”Nisa, saya nak kahwini awak…”

Nisa’ ternganga di sebalik purdah berona hijau bemban. Apa?

”Saya ikhlas… Saya nak memperisterikan awak.” Ikram mengulang dalam suara optimis. ”Saya berjanji akan jadi suami soleh yang mendidik isteri dan anak-anak…”
Nisa’ seakan tidak percaya. Dia menggetil lengannya kuat. Aduh, sakit! Dia tidak berkhayal juga bukan mabuk cinta. Ikram yang dahulu pernah diusir jauh-jauh meminangnya sementelahan waktu ini dia asyik mengharap kasih kudus yang halal.

”Tolonglah Nisa’… Saya ikhlas ni…” Rayunya tulus.

Tubir mata Nisa’ mula sarat langsung merekah. Tangisan berhamburan. Kalamnya kelu namun masih berdaya upaya untuk berbalas kata.

”Nisa’…Dah pernah berzina…” Ujarnya tersedan-sedan. Nada terengah-engah lalu dia diam sejeda mengela nafas. Ikram tenang menanti butir perkataan.

“Ikram sanggup ke… Nisa’ kotor…” Sedunya kian ketara. “Nisa’ berdosa! Nisa’ perempuan kotor…” Nisa’ separa menjerit menahan sebal. Emosinya makin menggila menatap takdir yang menghiris pedih. Hampir sahaja dia berteriak panjang.

Ikram meraup mukanya yang semakin berminyak. Ketayap di kepala ditanggalkan seketika lalu dirapikan kedudukannya. Dia berkeluh-kesah. Sayu menerjah kalbu. Wajah menyayukan itu ditenung sejenak sebelum bicaranya dilanjutkan.

“Khairunnisa’…”

Nisa’ yang tertunduk mengangkat muka perlahan-lahan. Matanya berair.

“Pernah tak Nisa’ dengar ayat ni…” Basmallah dilafazkan.

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang mahu bertaubat dan orang orang yang mahu membersihkan dirinya sendiri.” (Maksud ayat 222, surah Al-Baqarah)

Nisa’ mafhum benar dengan kalimatullah agung itu. Tidak mungkin dia melupai dalil naqli yang seringkali diperdengarkan sepanjang menghuni pusat perlindungan itu. Bahkan, dia sendiri mengekhatkan untaian hikmah itu cantik berseni lalu digantung di bahagian dewan solat Raudhatus Sakinah. Sebagai pemupuk taubat nasuha, telahnya.

”Allah Maha Penerima Taubat…” Ikram mula bertazkirah.

”Tidak ada dosa yang tidak diampunkan selain syirik…”

Butir bicara Kau benar belaka! Hujah Ikram berlandaskan nas yang jelas terang diterima pakai. Janji Allah Ta’ala mustahil sekali dimungkiri.

”Khairunnisa’ ialah sebaik-baik perempuan…”

Nisa’ laju menyelang sambil menyeluruti wajah mulus Ikram. Wujud ketenteraman di balik kulitnya yang putih bersih.

”Itu antara Nisa’ dengan Allah. Sudi ke Ikram menerima diri Nisa’…” Dia berniat menguji sukma Ikram, biarpun sebenarnya dia begitu teruja dilamar Ikram yang jadi idam-idaman. Dadanya penuh debaran menunggu jawapan yang mungkin keramat.

Ikram melempar pandang ke teratak tua itu.

”Pernikahan adalah keterikatan antara dua nurani yang saling mengasihi lantaran mendamba rahmat Allah Azzawajalla semata-mata. Kedua-dua jiwa murni ini amat berperanan sebagai suami dan isteri, melengkapi satu sama yang lain. Kalbu keduanya saling menyampai dan menerima. Andai ada apa-apa kelemahan, ditelan dengan penuh rela. Sebarang kekuatan dikongsi erat. Dua-duanya halus dan tulus mengukuhkan bait Muslim yang dicipta, asalkan nantiasa bertoleransi dan saling memaafkan. Tiap mehnah dikira tarbiah pengukuh cinta…” Ikram bersyarah lembut.

Aku terpaut dengan keindahan bahasamu. Bukan, dengan keikhlasanmu.

”Jadi… Ikram maafkan Nisa’?”

”Masakan tidak! Nisa’ menjadi asbab Ikram mengenal diri. Nisa’ jadi penggalak untuk Ikram menuntut ilmu agama… Dengan hidayah Allah, Ikram dapat sambung pengajian agama. Terima kasih Nisa’.” Ikram terseringai.

Nisa’ tersenyum. Aku heroinmu dan engkau heroku. Ikram, aku sudi untuk dimandat sebagai ratu hatimu!

”Nisa’…Izinkan Ikram menikahi Nisa’…”

Itu sudah pasti. Aku merelakannya. Aku tidak sanggup kehilangan teman hidup yang mithali. Dia ikhwah yang aku yakini mampu memimpinku bahu ke bahu menuju gerbang kebahagiaan di dunia jua akhirat. Engkau calon pilihan Ilahi, Ikram!

”Kalau nak pinang Nisa’, kena tanya ibu Nisa’ dulu.” Nisa’ berseloroh.

Ikram yang kaget serta-merta mengeluarkan telefon seluar dari poketnya lantas mendail sembilan angka nombor untuk menghubungi Sa’adah. Nisa’ tertawa kecil.

Angin berhembus lunak mengelus-elus, menyuasanai romantis. Burung-burung berterbangan merata-rata sambil berkicauan riang. Petala langit tampak nilakandi menyaksikan puspa hati meminang mestika. Sebening tarian cinta. Lebih romantik dari epik Romeo dan Juliet, namun tidak sebanding riwayat cinta Ummahatul Mukminin di sisi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam.

Nukilan: Mohd Dhany Mohd Sarip
Karya pertama beliau ini telah tersiar dalam akhbar Wasilah Edisi 13-20 Disember 2008. Alf Mubarak daripada saya untuknya.

Tidak ada komentar: